Sunday, December 4, 2011

FILEM: serlahan emosi indah

FILEM: Ombak Rindu
GENRE: Drama romantis
PENGARAH: Osman Ali
PELAKON: Maya Karin, Aaron Aziz dan Lisa Surihani
TAYANGAN: 1 Disember 2011

MENGANGKAT naskhah novel terlaris ke layar lebar boleh mendatangkan dua hal — berjaya atau tidak. Malah, bukan hal mudah memuatkan pengkisahan yang memerlukan sekurang-kurangnya empat jam bacaan di dalam tempoh tayangan satu jam setengah.
Pengarah dan penulis skrip juga perlu berhati-hati memilih plot yang boleh dikomersialkan kerana jika salah pilih, pasti plot akan meleret. Merealisasikan setiap bait kata dan karakter dalam buku kepada skrip jelas juga boleh menjadi cabaran besar jika tidak kena pada tempatnya.
Namun, filem terbaru arahan Pengarah Filem Terbaik Anugerah Skrin 2011 melalui filem Cun ini tampil berbeza dan lebih romantis. Kepelbagaian genre dilakukan Osman bukan saja menunjukkan dia mampu menghasilkan karya berdimensi, malah tatkala cuba mengangkat novel Ombak Rindu ke layar perak, seolah-olah sebuah eksprimentasi yang berhasil.

Tatkala berpeluang menonton filem ini, penulis bagai dibawa ke dalam plot penceritaan kisah sedih gadis bernama Izzah (Maya Karin) yang terpaksa melalui kehidupan malang.

Mungkin apa yang cuba penulis katakan terpencil, watak Izzah, gadis kampung yang pandai mengaji dan penuh sopan santun seolah-olah tidak kena dengan Maya.

Penulis akui dia pelakon hebat tetapi janggal kerana dia berdarah kacukan dan masih pelat apabila berdialog dalam bahasa Melayu diberi tanggungjawab sebagai gadis Melayu yang tinggal di kampung. Lebih tampak tidak kena apabila Izzah juga perlu mengaji dan mengajar anak kampung mengaji al-Quran.
Bukan tujuan penulis untuk memperlekehkan Maya kerana gagal secara lahiriah sebagai gadis kampung tetapi mungkin jika Maya diberi ruang lebih luas dan masa lama duduk di kampung serta diajar mengaji dengan nahu, tajwid, fasohah serta ‘bunga’ yang betul, Maya akan lebih cemerlang.
Pun begitu, Maya tetap gah dan berjaya melontarkan kesedihan dan kepayahan dialami Izzah. Sehingga hampir separuh penonton yang turut serta dalam sesi tayangan khas mengalirkan air mata lesu dek terkesan dengan kesedihan itu.
Tanpa perlu melontarkan dialog panjang dan meleret, cetusan rasa yang dilontar Maya secara pandangan mata yang penuh berisi sudah cukup membuktikan segala-galanya.

Tidak ketinggalan Aaron yang memegang watak Haris, usahawan muda kaya yang sombong dan akhirnya jatuh cinta dengan kelembutan Izzah. Ketepikan komentar mengenai lontaran rasa meluat terhadap watak Haris, penulis sebenarnya terkesan pada peralihan Aaron yang berjaya menonjolkan sisi sensitifnya dengan mengalirkan air mata kejujuran.

Kejujuran dicetuskan Aaron turut dirasai penulis sehingga tidak mampu menahan air mata yang berkaca di pertengahan cerita. Tidak salah penulis katakan, Aaron sememangnya aktor yang layak dan terbaik untuk membawa watak Haris.
Di segi sinematografi, setiap babak dan perkembangan plot penonton disajikan dengan nilai estetika tinggi. Berlatar belakangkan pantai dan laut lepas, matahari terbenam serta sawah padi terbentang luas, Osman berjaya merealisasikan emosi daripada imej indah tepat ke hati.

Sekalung tahniah buat pengarah seni yang berjaya mencari sudut terbaik untuk mengindahkan filem ini. Walaupun ada satu dua syot yang kabur dan tidak fokus, secara jujur penulis langsung tidak terkesan.
Lisa sebagai Mila, pula turut memberangsangkan dan tampak matang ketika menjiwai wataknya. Dia juga berjaya memberi cetusan rasa benci dan kasihan untuk dirasai penonton.

Secara jujur, filem ini patut ditonton mereka yang gemarkan kisah romantis dan berjiwa sensitif. Namun tidak sesuai untuk tontonan kanak-kanak dek beberapa babak intim di antara Izzah dan Haris.

Jangan lupa saksikan OMBAK RINDU :))

No comments:

Post a Comment